Wednesday, April 28, 2010

Kelly Clarkson Hadiahkan Kepuasan

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan (RAP Metro) 2010/04/27

JANGAN ingat Elyana saja yang suka berkaki ayam kerana bintang American Idol, Kelly Clarkson kelahiran Texas pun nampaknya tidak berkasut apabila muncul dalam konsert solonya di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Sejak awal kemunculan Kelly di pentas untuk persembahan bergelar All I Ever Wanted Tour: Live In Malaysia itu, Kelly tampak selesa dalam mempamerkan persembahan bertenaga, menyanyi dan menari di setiap sudut pentas.

Jarang dikaitkan dengan isu negatif dan disenangi ramai peminat, tindakannya tidak bersepatu itu menjadi tanda tanya. Pasti penyanyi yang memenangi dua trofi pada Anugerah Grammy 2006 menerusi Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik dan Album Vokal Pop Terbaik melalui album Since U Been Gone itu ada alasan tersendiri kenapa berbuat demikian. Tidak dinafikan, aksi mantap dan bertenaga ditunjukkan penyanyi berkenaan harus dipuji menerusi konsert yang berlangsung hampir dua jam itu. Pengunjung yang hadir terhibur dan tidak berganjak menyaksikan persembahannya.

Peminat setia penyanyi yang mencipta nama menerusi program realiti TV itu bagaikan dilanda histeria apabila memekik namanya sejak awal lagi. Tatkala Kelly muncul, lampu stadium sengaja dipadamkan sebagai gimik dan seterusnya suasana kembali cerah dengan lampu penuh warna-warni melatari pentas mengiringi lagu All I Ever Wanted, diikuti Miss Independent dan I Do Not Hook Up.

Kira-kira lebih 15,000 penonton menyaksikan persembahan pemenang American Idol musim pertama itu. Kelly memaklumkan bahawa dia rasa bertuah kerana dapat menjayakan persembahan sulung di Kuala Lumpur. Pada malam itu, dia berpakaian serba hitam dan menyanyi dengan vokal lantang dan penuh energetik. Selepas menghiburkan peminat dengan beberapa lagu rancak, Kelly menyampaikan melodi perlahan menerusi That I Would Be Good.

Penyanyi yang sinonim dengan imej berambut perang itu tidak lupa menyanyikan beberapa lagu daripada empat albumnya seperti Breakaway, If I Can't Have You, Never Again, Lies dan Tonight I Want To Cry. Khas buat peminat setia yang menyaksikan konsert pertama Kelly dalam siri jelajah Asia itu, mereka turut dihiburkan dengan persembahan akustik. Simbolik dengan sambutan hari jadi Kelly ke-28, sehari sebelum konsert itu berlangsung, peminat tidak lupa menyanyikan lagu Happy Birthday kepadanya. Kelly yang ceria ketika menyampaikan lagu-lagunya bertukar menjadi terharu apabila mendengar peminat berbuat demikian. "Walaupun dalam keadaan basah berpeluh, saya tetap gembira kerana dapat menghiburkan anda semua di Kuala Lumpur. Sebelum ini, saya tertanya-tanya adakah peminat di sini akan menerima saya. Saya gembira kerana persoalan itu akhirnya terjawab menerusi konsert ini. Terima Kasih semua kerana menyokong pembabitan saya dalam bidang seni," ujar Kelly.

Sambil memaklumkan dia turut mencipta beberapa lirik lagu yang disampaikan, selain minat menyanyi lagu berunsur keagamaan. Kelly menjadikan penyanyi terkenal, Alanis Morissette sebagai idolanya.

Persembahan Kelly diiringi band yang diketuai pengarah muzik, Jason sesekali menghiburkan peminat yang diajak menyanyi dan menari bersama menerusi persembahan mereka. Kemuncak persembahan, Kelly turut menyampaikan lagu hitnya seperti Because Of You, Since U Been Gone dan Already Gone dengan cara tersendiri.

Sebelum menyanyikan beberapa lagu terakhir, Kelly membuat gimik klise apabila pentas digelapkan sebagai tanda konsert sudah berakhir. Kemudian dia tampil semula menyanyikan Seven Nation Army dan My Life Would Suck Without You.

Terdahulu, persembahan pembukaan menampilkan Jaclyn Victor atau Jac yang menyanyikan medley popular 1980 hingga kini selain penampilan Suki buat julung kali bermain biola dan menyanyi lagu Kelipan Cinta. Suki juara Malaysia Idol musim pertama memakai gaun merah bernilai RM15,000 rekaan Dominique Chan bersama set perhiasan bernilai RM1 juta tajaan Rafflesia The Pearl Center.

Konsert anjuran Galaxy Group dibawakan pendahulu kad prabayar, Hotlink daripada Maxis Berhad. Lebih 180 pemenang bertuah Hotlink dan pelanggan Maxis memenangi tiket percuma untuk tempat duduk terbaik menonton persembahan itu. Selepas Malaysia, Kelly akan mengadakan siri konsert Jelajah Asia di Singapura, Jakarta, Taiwan dan Macau.

Posted Date : 28 April 2010
Posted Time : 12.49am

No comments:

Post a Comment